Jumaat, 6 Mac 2009

KELAHIRAN RASULULLAH S.A.W

Siri Pertama


Tarikh Kelahiran Dan Peristiwa

12 Rabiul Awal merupakan tarikh yang bersejarah yang mana saban tahun umat Islam seluruh dunia sama-sama menyambut hari kelahiran putera bertuah yang telah merubah peradaban dunia. Muhammad begitulah nama indah kepada putera Abdullah dan Aminah ini yang telah menunjukkan sifat keperibadian dan akhlak yang terpuji semenjak kecil lagi. Tujuan perayaan ini dilakukan bukanlah untuk memuja Rasulullah S.A.W tetapi sebaliknya bagi mengingati segala pengorbanan baginda dan yang lebih utama lagi untuk mencontohi akhlak serta segala sunnah yang ditinggalkan kepada kita. Menurut sejarah, Malikus Salleh yang merupakan seorang pendakwah yang terkenal pada masa itu telah memperkenalkan perayaan ini apabila beliau melihat umat Islam di kepulauan Melayu pada masa itu kurang mengamalkan sunnah serta mengabaikan akhlak-akhlak yang terpuji yang pernah ditonjolkan oleh Rasulullah S.A.W. Sesiapa yang menyambut kelahiran Rasul yang mulia ini tetapi hanya untuk bermegah-megah dan tidak mahu menurut segala apa yang yang dibawa oleh baginda S.A.W serta menolak hukum Pencipta mereka maka inilah yang dikatakan perayaan yang dibuat itu adalah bid'ah yang sesat yang menempah siksaan dan bala dari Allah Subhanahu wa Ta'ala. Kita bukan mengadakan perayaan untuk mengingati baginda S.A.W sahaja tetapi mestilah diikuti dengan pelaksaan segala perintah dan sunnah Rasulullah S.A.W. Pelaksaan pula hendaklah meliputi semua aspek dan bukannya menurut kehendak hati sahaja seperti yang berkait dengan ibadat khusus, sunnah yang berbentuk amalan sunat dan meninggal apa yang sukar dan tidak bertepatan dengan nafsu kita seperti politik, ekonomi, perundangan, pemerintahan, batas-batas pergaulan harian dan pemakaian pakaian yang menutup aurat bukan sahaja disekolah, universiti, tempat kerja malah di mana sahaja termasuk di rumah apabila adanya mereka yang bukan muhrim ( halal berkahwin )

Tiada ulasan:

Catat Ulasan